KUALA LUMPUR: Idea penubuhan Kerajaan Perpaduan merupakan cerminan pandangan jauh serta keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rasa rendah diri menjunjung Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan dengan parti-parti politik utama negara termasuk Ahli Parlimen bebas.
“Kerajaan Perpaduan komited untuk menggalas amanah rakyat dan sedang giat melaksanakan segala gerak kerja termasuk menyusun strategi baharu bagi mempersiapkan negara menghadapi cabaran politik, ekonomi, sosial, perubahan persekitaran dan sebagainya,” katanya semasa membentang usul Undi Percaya terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri di sidang Dewan Rakyat di sini.
Fadillah berkata, menyedari prospek ekonomi dunia tahun hadapan dijangka mengalami kemelesetan, adalah penting Kerajaan Perpaduan mendapat sokongan dalam kalangan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
“Ini sekali gus akan memperkukuhkan lagi keyakinan pelabur, komuniti perniagaan serta rakyat. Hasil sokongan tersebut akan menyuntik azam untuk Kerajaan Perpaduan terus komited memberi perkhidmatan,” tegas beliau.
Pentadbiran Kerajaan Perpaduan ini akan berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik, keadilan serta kesaksamaan sosial termasuk usaha-usaha reformasi bidang-bidang tertentu, tambahnya.
Dengan ini, kepimpinan Perdana Menteri Ke-10 dan Kerajaan Perpaduan perlu disokong demi kejayaan negara dan kesejahteraan rakyat, katanya.
Beliau menambah, Kerajaan Perpaduan berikrar dengan iltizam yang jitu untuk terus menstabilkan iklim politik, memakmurkan ekonomi, menyatupadukan semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum serta mengangkat martabat Malaysia di mata dunia.
Dewan perlu mengambil ketetapan dan berikrar memberi sokongan sepenuhnya terhadap kepimpinan Ahli Parlimen Tambun selaku Perdana Menteri bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya, tambah beliau.
“Dengan ini, Dewan ini berdiri teguh sambil menyokong sepenuhnya pelantikan dan kepimpinan Datuk Seri Anwar selaku Perdana Menteri Malaysia Ke-10,” katanya.
Sumber dari : Jiwa Bakti